JUN 2022

Abang Jo Peruntukan RM 348 Juta Untuk Pembangunan Kapit


KAPIT: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg hari ini mengumumkan peruntukan tambahan untuk menjamin pembangunan yang pesat serta menyelesaikan beberapa isu yang dihadapi di Kapit.

“Bandar Kapit kini mengalami isu kesesakan trafik akibat daripada pembangunan rangkaian jalan raya yang menghubungkannya dengan bahagian Sibu.

“Oleh itu, saya meluluskan peruntukan sebanyak RM190 juta bagi menaik taraf jalan raya di seluruh kawasan Kapit dengan harapan ia akan terus berkembang sebagai sebuah bandar,” katanya semasa berucap pada Majlis Jamuan Teh bersempena dengan Sambutan Perayaan Hari Keputeraan Rasmi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke-XVI di Kapit Town Square pada Isnin.

Tambah  Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari, RM105 juta pula akan diperuntukkan bagi membangun jalan raya yang akan menghubungkan Ulu Sungai Katibas dengan Sungai Bangkit berikutan kawasan Song di Katibas kini juga sedang membangun.

Katanya, sejajar dengan aktiviti pembangunan yang berlaku di Sungai Tunoh, Kerajaan Sarawak juga akan membangunkan grid elektrik dari Kapit ke Tunoh dengan jarak sejauh 35 kilometer menggunakan peruntukan berjumlah RM53 juta.

Sejurus selesai Majlis Jamuan Teh di Kapit hari ini, Abang Johari telah meluangkan masa meninjau projek yang telah dibangunkan iaitu Kapit Lily Pond.

Sumber dari : Sarawakku